Tuesday, May 24, 2011

Biasiswa JPA hanya bagi bidang kritikal-BH

KUALA LUMPUR: Pelajar cemerlang lepasan SPM tidak boleh mengambil kursus yang diminati dan menganggap berhak memperoleh biasiswa JPA-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata, JPA akan menawarkan biasiswa mengikut bidang yang dikategorikan sebagai kritikal saja seperti yang ditetapkan oleh pihaknya.
“Penawaran hanya memberi fokus kepada bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, sains dan teknologi, termasuk sains sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam di negara ini.

“Selain itu, sekiranya pelajar mengambil 13 mata pelajaran dan berjaya memperoleh 13A+ dalam SPM, jangan anggap berhak mendapat biasiswa ini kerana ia berdasarkan kepada keputusan 9A+ seperti diberitahu pada tahun lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, semalam.

Mengikut rekod tahun ini, JPA menerima 16,900 permohonan bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 8,857 daripada jumlah itu melepasi syarat serta gred minimum mengikut bidang pengajian.

Nazri berkata, kerajaan memperuntukkan 1,500 biasiswa PILN dan 2,500 biasiswa Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tetapi hanya 300 pelajar saja yang menerima biasiswa PILN berdasarkan kepada kriteria ditetapkan.

“Kita melihat pencapaian akademik mereka, pembabitan dalam kokurikulum, sosioekonomi dan latar belakang keluarga serta prestasi ketika menghadiri temu duga, manakala mereka yang tidak memenuhi kriteria masih diberi tempat untuk belajar di universiti tempatan,” katanya.

Beliau berkata, baki biasiswa pula diberi kepada mereka yang layak bagi PIDN mengikut populasi kaum iaitu 60 peratus (900 biasiswa), setiap lima peratus bagi Sabah dan Sarawak (150 biasiswa) serta 10 peratus bagi golongan kurang berada (150 biasiswa).


| Berita Harian Online |

No comments:

Post a Comment